Surat Terbuka Zed Zaidi Buat Semua Ahli Seniman


WALAUPUN sudah beberapa hari berlalu, isu dalaman Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) nampaknya masih berlarutan.

Kali ini, pengerusinya, Zed Zaidi menerusi laman Facebooknya memuat naik satu entri yang merupakan surat terbuka kepada semua ahli Seniman yang berdaftar.

Dalam surat tersebut, Zed menyatakan yang seharusnya isu atau masalah yang timbul dalam kesatuan itu seharusnya diselesaikan sesama sendiri dan tidak dihebohkan.

“Secara analogikalnya apabila kita mempunyai masalah keluarga adakah kita perlu menceritakan masalah dalaman keluarga kepada orang ramai?

“Adakah kita perlu membuka pekung keluarga secara umum? Bagaimana persepsi masyarakat kepada keluarga kita ini nanti?

“Masalah keluarga perlu diselesaikan secara berkeluarga. Saya menganggap SENIMAN adalah sebuah keluarga. YA! Keluarga yang besar dan agak rumit untuk ditadbiri,” tulisnya.


Sementara itu, Zed turut menjawab isu mempertahankan hak artis yang diutarakan sebelum ini. Katanya, isu hak, hak mengundi, hak bersuara dan hak melontarkan pandangan adalah menjadi hak setiap ahli Seniman.

Namun, semua hak itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat agung yang diadakan setiap tahun dan bukan menuntut hak-hak tersebut melalui laman sosial.

Zed turut menjawab isu tentang pembaharuan kad ahli serta polisi yang terdapat dalam kesatuan itu.

“Polisi dan dasar Seniman amat mudah. Kita mempunyai empat perkara asas iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis.

“Jadi peranan Seniman salah satunya mempermudahkan ahlinya untuk berurusan dengan persatuan,” ujarnya.

Zed turut menambah, borang pendaftaran Seniman itu merupakan black and whitekepada semua ahlinya. Borang itu hanya diberi semasa pendaftaran dan bukan diberi pada setiap pembaharuan ahli.

“Untuk pengetahuan anda, bila selesai anda membuat bayaran yuran, anda akan mendapat kad keahlian seniman berserta nombor ahli dan juga tarikh luput keahlian dan insuran.

“Ini bermakna setelah membayar yuran anda, anda akan dilindungi insuran selama setahun dan inilah salah satu fungsi Seniman untuk membela ahlinya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zed turut mengingatkan kepada ahli-ahli kesatuan tersebut supaya setiap isu atau masalah yang dilontar dapat disertakan dengan idea untuk mengatasinya.

Ini kerana Zed berpendapat bahawa Seniman hanyalah fasilitator dalm membantu merealisasikan pandangan ahli-ahlinya itu.

“Kami di Seniman tidak ada gaji dan buat secara sukarela jadi kami amat memerlukan sokongan ahli-ahli untuk membantu kami dalam perjuangan yang penuh dengan cabaran ini,” katanya.

Zed turut mengingatkan supaya ahli-ahli Seniman serta rakan-rakan artis sentiasa mengikuti laman sosial dan laman rasmi Seniman kerana perkembangan kesatuan itu ada dimuat naik di platform tersebut.

Terdahulu, Zed ada membuat kenyataan balas dan meminta Tiz Zaqyah untuk menjadi ahli jawatankuasa Seniman kerana memuat naik entri di InstaStory di laman Instagram.

Kemudian, Tiz memberikan responnya di laman Instagram apabila dilabel ‘kaki komplen’.

Jadi, Zed sebagai individu yang menerajui persatuan itu terpanggil untuk menulis surat terbuka tersebut kepada kesemua ahli Persatuan.

Diharapkan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya kedua-duanya, baik Seniman mahupun ahli-ahlinya dapat memberikan fokus memajukan industri hiburan negara ini. – MYNEWSHUB.CC
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==