NAH! Kalau sebut sahaja nama juara program realiti Akademi Fantasiamusim ke-8 (AF8), Shahir pasti ramai mula terbayang gosip cinta pemuda ini dengan primadona filem Melayu, Erra Fazira kan?
Namun, baru-baru ini dunia seni tanah air telah digemparkan pula dengan kontroversi ‘panas’ apabila penyanyi itu didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pramugari.
Bagaimanapun, Shahir atau nama sebenarnya Shahir Zawawi menyelar dakwaan tersebut dan mengakui hubungan mereka hanyalah sebagai seorang artis dengan peminat sahaja.
Susulan daripada itu, wanita yang dikaitkan dengan penyanyi itu kini tampil bagi mengulas mengenai hubungan mereka.
Mona atau Mona Syamimi Mohd Samsudin menegaskan dia bukanlah peminat mahupun penyokong Shahir dalam AF Megastar seperti mana yang didakwa oleh penyanyi berkenaan.
“Saya bukan peminat atau penyokong dia seperti yang didakwa. Saya tak minat pun program realiti tersebut,” katanya melapor mStar Online.
Tambah Mona lagi, dia mula mengenali anak jati Perak itu menerusi laman Instagram dan mula rapat sejak sebulan yang lalu.
Malah, gadis berusia 27 tahun ini turut mengakui sering keluar bersama Shahir secara berdua-duaan dan juga ada kalanya dengan beberapa teman-teman lain.
“Kami berkenalan kira-kira sebulan lalu menerusi Instagram dan boleh dikatakan kerap juga keluar berdua dan adakalanya beramai-ramai.
“Cuma sekarang saya sibuk dan dia pula sibuk dengan final AF Megastar,”tambahnya.
Dalam pada itu, Mona enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut sebaliknya meminta persoalan mengenai hubungan mereka diajukan kepada Shahir sendiri bagi menjelaskan tentang isu sebenar.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hubungan Shahir dan Erra, gadis ini mengakui sudah mengetahui tentang perkara itu.
“Ya, saya tahu tentang perkara itu tapi tidak seperti yang dilaporkan pihak media,”ujarnya.
Apa-apa pun, kita tunggu sahaja kenyataan daripada kedua-dua Erra dan Shahir mengenai isu ini sebelum membuat sebarang spekulasi. – MYNEWSHUB.CC/AM