ARKIB : 21/11/2007
PETALING JAYA Sindiran sinis Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Azalina Othman Said nyata tidak melemahkan semangat skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara untuk merealisasikan impian membawa pulang pingat dari Korat, bulan depan.
Malah bagi jurulatih negara, B. Sathianathan, itu adalah cabaran getir kepada beliau serta anak didiknya untuk mempamerkan aksi paling mantap dengan sasaran mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki di Sukan SEA nanti.
Ia adalah satu cabaran dan saya cukup bersedia serta berkerja keras ke arah itu. Kami memang berazam membawa pulang pingat, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Azalina mengadakan pertemuan singkat dengan skuad bola sepak dan futsal lelaki serta wanita di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Bagi jurulatih itu ketegasan yang diluahkan oleh Azalina sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat kepadanya dan barisan pemain untuk membuktikan mereka bukan lagi mudah untuk diperlekehkan.
Saya tidak risaukan lawan pada Sukan SEA sebaliknya saya lebih bimbangkan pemain saya, ujarnya ringkas.
Sathianathan berkata, walaupun persiapan rapi berjalan lancar apa yang menjadi kebimbangan utamanya ialah jika komitmen dan semangat pemain longlai sebelum bertarung.
Saya harap ini tidak terjadi kerana saya percaya kepada kesungguhan dan semangat pemain yang inginkan kita mara ke akhir selain menyumbang pingat untuk kontinjen negara, tegasnya.
Pada Sukan SEA nanti skuad bola sepak lelaki negara akan membuka tirai dengan menentang Vietnam (1 Disember) diikuti Laos (3 Disember) dan Singapura pada 8 Disember.
Mengulas mengenai tiga pertemuan itu beliau menganggap kesemua lawan tidak harus dipandang ringan.
Mengenai keupayaan Vietnam kata Sathianathan, mereka mempunyai kekuatan tersendiri tetapi ia tidak mendatangkan masalah kepada pemainnya untuk menyaingi mereka.
Ia penting dan kita tidak boleh kalah. Jika menang harapan ke separuh akhir dan mengelak pertemuan awal dengan Thailand sudah pasti cerah, ujarnya.
Beliau mahu barisan pemainnya dapat bermain dengan corak seperti biasa.
Atas kertas, keupayaan Vietnam dan Singapura adalah sama dengan kita.
Cuma yang membimbangkan saya jika pemain alpa dan banyak membuat kesilapan. Jika kesilapan kecil dapat dielakkan rasanya kita mampu untuk melangkah lebih jauh, ujarnya lagi
SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2gswQvV
© Utusan Melayu (M) Bhd