Derita Kencing Manis Kronik, Terpaksa Lupakan UPSR


TERPAKSA mengengsot di dalam rumah, itulah penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh Mahathir Mohammad, 13, yang menderita kencing manis kronik sejak berusia lapan tahun lagi.

Malah, kakinya turut berlubang akibat kudis daripada jangkitan kuman yang dialaminya.

Penyakit yang dihidapi Mahathir ini sebenarnya berpunca daripada ketagihannya meminum minuman berkarbonat sejak kecil lagi.

Biarpun begitu, Mahathir menjelaskan yang dia tidak tahu yang kesihatannya boleh terjejas akibat pengambilan gula yang berlebihan daripada minuman berkarbonat itu.

“Saya suka minum minuman berkarbonat sejak kecil. Rumah terletak berhampiran kedai runcit. Oleh itu, setiap hari saya akan beli pelbagai jenis air berkarbonat. Tapi tak sangka akhirnya tabiat itu menyebabkan saya menderita kencing manis.

“Pada mulanya tapak kaki luka kecil. Lama-kelamaan berlubang dan membengkak hingga bernanah,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Kanak-kanak yang berasal dari Taman Rimbunan Kasih, Serkam, Jasin, Melaka ini tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,sekaligus membantutkan hasratnya untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurut ibunya, Zaliha Mohd Zabidi, 44, kedua-dua kaki anaknya itu hampir dipotong pada tahun lepas oleh doktor yang merawatnya.

“Selepas mendengar cadangan doktor itu saya rasa serba salah. Selepas berfikir panjang saya minta doktor tangguhkan dulu memotong kaki Mahathir.

“Tak sampai hati lihat dia yang membesar dengan anggota badan lengkap kehilangan kedua-dua kaki dalam sekelip mata.

“Saya dan keluarga kemudian ikhtiar pelbagai cara untuk mengawal jangkitan kuman daripada menjadi semakin serius. Kami bernasib baik kerana ditemukan dengan pakar dalam penyakit ini.

“Sejak menerima rawatan daripada doktor berkenaan tahap kencing manis dan lubang pada kaki Mahathir akibat jangkitan kuman dapat dikawal walaupun masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Tambah ibunya lagi, anak keempat dari lima beradik ini perlu menggunakan kerusi roda atau memakai kasut khas ketika ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan.

Dalam pada itu, Mahathir turut mendapat kunjungan daripada Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Amir Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==