MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak mampu menahan diri ketawa terbahak-bahak dalam mesyuarat Kabinet selepas ada menteri mencadangkan eksport daging babi ke Indonesia.
Menurut media tempatan, Menteri Pertanian, Alexander Tkachev mengusulkan rancangan lucu tersebut konon untuk meningkatkan sumber pendapatan negara terbesar di dunia itu kerana Indonesia memiliki ramai penduduk.
Beliau kemudian memberikan perbandingan dengan Jerman sebagai contoh antara yang sudah berjaya mengeksport produk daging babi ke beberapa buah negara lain khususnya di benua Asia seperti Jepun, China dan Indonesia.
Putin bagaimanapun tersenyum dan menjelaskan kepada Tkachev bahawa Indonesia adalah sebuah negara Islam dan majoriti besar daripada rakyatnya yang beragama Islam memang tidak pernah pun makan daging babi.
Menteri tersebut yang agak terkejut namun dengan selamba menjawab, “Mereka (rakyat Indonesia) akan makan (daging babi)” sebelum presiden berkenaan kemudian berkata: “Tidak, mereka tidak akan (makan babi)!”
Putin kemudian ketawa sehingga menyebabkan Tkachev hanya mampu tersenyum sebelum menjelaskan bahawa beliau tersilap merujuk teks yang bermaksud Korea Selatan dan bukan Indonesia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA