Sathia pertaruh tiga serangan



ARKIB : 27/10/2007

KUALA LUMPUR – Rangkaian tiga serangan akan menjadi nadi skuad bola sepak kebangsaan dalam usaha mencari kemenangan apabila melayan kunjungan Bahrain pada perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2010 Zon Asia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Perubahan baru itu menggunakan formasi 3-3-4 akan digunakan oleh jurulatih Sathianathan (gambar) dengan tumpuan membentuk gandingan serangan paling tajam untuk mencari gol awal dalam usaha memadamkan kelebihan tiga jaringan milik Bahrain.

Begitupun jurulatih itu terus merahsiakan gandingan tiga serangan yang bakal memikul tanggungjawab berat untuk memastikan pintu gol Bahrain di bocori di awal babak permainan.

Buat Sathiananthan, ada kemungkinan beliau akan menurunkan gandingan Mohd. Safee Sali, Mohamad Zaquan Adha Abdul Razak dan Indra Putra Mahayuddin.

Pada masa yang sama beliau tetap membayangkan Khyril Muhymeen Zambri bakal mendapat kepercayaan.

‘‘Saya masih ada satu lagi sesi latihan dan keputusan siapa akan diturunkan akan diketahui esok (hari ini).

‘‘Bermain di tempat sendiri ketika kita ketinggalan dengan tiga jaringan saya lebih tertumpu kepada corak menyerang habis-habisan,’’ ujarnya, semalam.

Bagi memantapkan lagi skuad kebangsaan beliau turut membayangkan sedikit perubahan di bahagian tengah dan pertahanan tetapi terus merahsiakan rombakan yang akan dilakukannya.

Ujarnya, apa yang penting pemain perlu mengelak daripada membuat kesilapan seperti mana yang berlaku sewaktu kita tewas 1-4 kepada Bahrain di Manama.

Sathianantan membayangkan tiada perkara mustahil dapat dilakukan anak didiknya untuk menewaskan Bahrain.

‘‘Mereka ada tiga gol menjadi bekalan tetapi saya masih percaya pemain kita dapat memberikan saingan dan mungkin juga mereka dapat mengejutkan Bahrain,’’ tegas jurulatih itu lagi.

Beliau sedar misi hidup mati skuad bimbingannya yang perlu mencari gol awal untuk mengurangkan defisit milik Bahrain walaupun atas kertas kelebihan memihak kepada lawan.

Bagi jurulatih itu, beliau tidak mahu kepincangan yang terjadi pada di Stadium Nasional Manama berulang semula di Stadium Shah Alam.

‘‘Saya harap ia tidak terjadi. Pemain sedar akan kesilapan mereka tempoh hari dan masing-masing berjanji untuk mengelak daripada melakukannya,’’ ujar Sathianathan.

Jurulatih kelahiran dari Negeri Sembilan itu menyedari laluan getir dirintis oleh anak didiknya tetapi itu bukan menjadi penghalang untuk pemain kebangsaan membuat kejutan.

‘‘Apa pun boleh terjadi dalam perlawanan yang begitu getir. Sebagai jurulatih sudah pasti kemenangan yang dituntut.

‘‘Saya tahu semua pemain menyemat keazaman tinggi untuk melakukan yang terbaik di hadapan penyokong sendiri seperti mana kita menjuarai Pesta Bola Merdeka.

‘‘Jika pemain melakukan kesilapan kali kedua ini bermakna mereka telah menghampakan harapan peminat,’’ ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2ytt2QV
© Utusan Melayu (M) Bhd
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==