Skuad remaja perlu realistik



ARKIB : 31/10/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad bola sepak Bawah 19 Tahun negara, K. Rajagopal mahu bersikap realistik dengan peluang anak buahnya dalam Kumpulan F Kelayakan Asia di Liuzhou, China, bulan depan memandangkan tempoh persediaan mereka yang agak singkat.

Walaupun berjanji bahawa anak buahnya tidak akan sekadar mencukupkan penyertaan, jurulatih ini berkata, pusingan kelayakan itu akan menjelaskan kedudukan remaja negara khususnya jika dibandingkan dengan dua lawan lebih handal, tuan rumah dan Korea Utara.

“Pasukan Bawah 19 yang saya kendalikan tahun lalu, lebih bersedia kerana menimba pendedahan antarabangsa (hampir dua tahun) tetapi pasukan baru ini hanya ditubuhkan tahun ini,” katanya yang menerajui remaja Malaysia layak secara merit kali pertama ke pusingan akhir di India, tahun lalu.

Barisan anak buahnya seperti Aidil Zafuan Radzak, Bunyamin Umar dan Khyril Muhymeen Zambri yang kini mewakili skuad senior, menewaskan Myanmar untuk ke India tetapi tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan pusingan akhir kepada Vietnam, Iraq dan Arab Saudi.

Kali ini Malaysia diundi dalam Kumpulan F kelayakan dengan China, Korea Utara, Macau dan Singapura dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Liuzhou itu dengan hanya dua pasukan teratas layak ke pusingan akhir tahun depan.

Pada awal tahun ini, mereka mara ke separuh akhir Piala Hassanal Bolkiah Bawah 21 Tahun di Brunei dan bergelar naib juara Kejohanan Bawah 20 Tahun AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) di Ho Chi Minh setelah cuma kalah 1-0 kepada Vietnam, Ogos lalu.

Skuad Bawah 19 Malaysia juga baru-baru ini mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan ke kelayakan dari 6 hingga 14 November itu dengan tewas 1-0 dan 2-0 kepada MyTeam 2 dan Pahang.

Remaja negara akan membuka kempen Kelayakan Asia dengan menentang Macau tetapi Rajagopal pantas mengingatkan mereka supaya bersedia dari segi mental khususnya sambil mengelakkan diri daripada sebarang kesilapan yang membahayakan.

“Pasukan perlu mengelak terlalu banyak kesilapan dan menemui sentuhan yang lebih tajam dalam menyudahkan setiap peluang yang mampu dicipta,” katanya yang membawa skuad Bawah 19 negara ke suku akhir Kelayakan Asia di Malaysia, tiga tahun lalu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ift.tt/2kXi9T4
© Utusan Melayu (M) Bhd
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==