Masalah Kewangan, Hutang Motif Suri Rumah Ditikam


KUANTAN – Pihak polis tidak menolak kemungkinan masalah kewangan berkaitan perniagaan atau hutang menjadi punca seorang suri rumah ditikam sehingga mati di rumahnya di Kampung Hijrah di sini pada 29 September lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman berkata sehubungan itu polis meminta orang awam untuk membantu mengesan seorang individu yang bernama Ibrahim Mohd Isa, 41, yang beralamat di Kampung Galing, Jalan Beserah di sini bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan, kita tidak menolak motif pembunuhan adalah berkaitan masalah kewangan atau hutang antara individu yang dicari dengan suami mangsa. Suspek juga adalah orang yang dikenali oleh keluarga mangsa,” katanya.

Rosli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini yang menyaksikan 63 pegawai dan anggota polis wanita menunjukkan kehebatan dalam kawalan kehormat.

Beliau menambah perniagaan haiwan eksotik juga berkemungkinan menjadi punca kepada masalah kewangan itu kerana beberapa haiwan eksotik dijumpai di rumah mangsa, namun perkara itu hanya boleh dipastikan selepas suspek berjaya ditahan kelak.

Media sebelum ini melaporkan penjual ikan Nasrul Mansor, 32, menemui mayat isterinya Norhasilah Ismail, 34, dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka selepas pulang daripada mengambil dua anaknya dari sekolah.

Norhasilah dipercayai ditikam sekitar pukul 8 pagi dan semasa kejadian anak bongsunya didapati dikurung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata polis menahan empat lelaki dipercayai anggota Geng Ferol yang dipercayai terlibat menjual komponen motosikal curi di laman sosial Facebook pada operasi yang diadakan di sekitar daerah ini bermula 6 Okt hingga semalam.

“Kita percaya penahanan suspek menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 kes kecurian motosikal di daerah ini dan kumpulan ini juga dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar barangan yang dipesan pelanggan,”katanya.

Rosli menambah sepanjang operasi itu, polis juga merampas tujuh buah motosikal, rangka motosikal (8), enjin motosikal (13), kulit enjin (39) dan beberapa jenis peralatan untuk mengubah suai nombor enjin serta casis motosikal.

Semua suspek direman bermula semalam dan dijangka akan didakwa Jumaat ini mengikut mengikut lanjut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, katanya. – BERNAMA
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==