ARKIB : 20/10/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Tonggak skuad negara, Indra Putra Mahayuddin (gambar) mengalu- alukan pemberian posisi lamanya, sayap kiri oleh jurulatih B. Sathianathan menjelang perlawanan pusingan pertama bola sepak kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, esok.
Pemain Selangor bagi musim depan ini juga mengakui tidak bermasalah menyesuaikan diri selepas sekian lama bertindak sebagai penyerang utama dalam Liga Malaysia mahupun pertandingan antarabangsa.
Itu posisi lama saya yang ditinggalkan sejak 2003. Seingat saya kali terakhir saya bermain sebagai sayap kiri Malaysia ialah dalam Sukan SEA Vietnam. Dalam Piala Asia (di Kuala Lumpur, Julai lalu) pun masih sebagai penyerang.
Cuma di Perth (dalam siri perlawanan persahabatan dengan empat kelab, baru-baru ini), jurulatih mengembalikan saya ke sayap kiri walaupun saya memang lebih menggemari posisi penyerang, katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, pemain kelahiran Perak dan baru meninggalkan Pahang selepas tiga musim ini, hanya dapat diturunkan selama 30 minit dalam perlawanan terakhir menentang Floreat Athena gara-gara kecederaan lama buku lali kanannya berulang.
Sakitnya sudah tiada. Saya rasa lebih sihat sekarang dan bertekad memberikan yang terbaik buat Malaysia apabila menentang Bahrain (di Stadium Kebangsaan, Manama), kata penjaring gol tunggal negara ketika kalah 3-1 kepada lawan
dalam Kelayakan Piala Asia 2003.
Indra cukup menyerlah sebagai sayap kiri ketika membantu Malaysia menewaskan Thailand 3-1 dan Singapura 4-0 dalam Piala Tiger 2002, malah dia sempat menjaringkan gol tunggal biarpun Malaysia dibelasah China 5-1 dalam Piala Asia.
Sathianathan masih menaruh keyakinan kepada gandingan penyerang muda, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak yang semakin menyengat apabila membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka, Ogos lalu dan siri persahabatan di Perth.
Sementara itu, ketua pasukan negara, Norhafiz Zamani Misbah berkata, mereka perlu menyekat dan mencegah sebarang usaha Bahrain untuk mengumpan bola tinggi ke kotak penalti kerana tuan rumah memiliki ramai pemain tinggi lampai dan bertubuh besar.
Malaysia turut memiliki dua pemain yang mampu menandingi ketinggian pemain Bahrain seperti penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein dan pemain tengah, K. Nanthakumar sekiranya serangan tuan rumah banyak bertumpu kepada umpanan lambung dan lintang di udara.
Saya percayakan semangat sepasukan kita yang tinggi untuk mengekang lawan. Kita juga ada pemain muda yang mampu bergerak pantas seperti Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal yang mampu menyukarkan mereka, kata bek tengah kelahiran Melaka ini.
Cuma Norhafiz dan rakan seposisi, Aidil Zafuan Radzak, Indra dan Safee serta Nanthakumar yang pernah berpengalaman luas antarabangsa dan beraksi dalam Piala Asia manakala kebanyakan rakan lain cuma membarisi skuad bawah 23 tahun negara.
Mereka bagaimanapun bergandingan dengan baik untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Pestabola selama 14 tahun, Ogos lalu biarpun kali ini terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan asal, Shukor Adan kerana kecederaan ketika menentang Singapura dalam separuh akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2ytIMUb
© Utusan Melayu (M) Bhd