ARKIB : 12/10/2007
KUALA LUMPUR Malaysia akan menentang Bahrain dalam perlawanan pertama pusingan pertama bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2010 pada 21 Oktober ini dengan kerja rumah yang lengkap hasil intipan seorang pegawai pasukan, baru-baru ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Jurulatih Malaysia, B. Sathianathan berkata, kerja rumah yang meliputi rakaman video aksi Bahrain menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan 5 Oktober lalu, bakal banyak membantunya menyediakan skuad negara apabila bertandang ke Manama.
Walaupun kami ke Perth sepanjang empat perlawanan persahabatan baru-baru ini, saya telah menghantar seseorang untuk mengintip Bahrain yang menang 3-1 ketika itu bagi menambah maklumat sebagai persediaan kami, katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, satu sesi tayangan video perlawanan itu untuk pasukan negara akan dijalankan selepas Aidilfitri minggu depan bagi merencanakan strategi skuad negara dalam menghadapi pasukan pilihan keenam Asia dalam Kelayakan Piala Dunia kali ini.
Maklumat awal menyebut mereka menang dengan jaringan hatrik pemain kelahiran Nigeria, Jaycee John Akwani. Mungkin ada maklumat tambahan mengenainya untuk dikaji menerusi rakaman video itu, katanya yang kembali dari Perth kelmarin.
Skuad negara menewaskan Perth Soccer 1-0 selepas kalah 3-1 dan seri 0-0 dengan Ashfield sebelum menamatkan siri kunjungan menjelang Kelayakan Piala Dunia dan Sukan SEA Korat itu dengan kemenangan 2-1 ke atas Floreat Athena.
Menurut Sathianathan, kesemua 23 pemain negara juga kembali tanpa sebarang kecederaan besar walaupun turun beraksi sepanjang Ramadan di sana sejak 25 September lalu dan mengetepikan seketika Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.
Katanya, skuad negara diberi cuti merayakan Aidilfitri sehingga Isnin ini sahaja memandangkan mereka bakal berlepas ke Manama, sekurang-kurangnya empat hari sebelum perlawanan pertama di Stadium Kebangsaan Bahrain itu.
Malaysia kalah 3-1 kepada Bahrain di Manama pada 22 Oktober 2003 (gol Indra Putra Mahayuddin) dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2004 selepas mampu mengikat lawan 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hasil jaringan Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah.
Kedua-dua pasukan menduduki tangga tercorot dalam persaingan Kumpulan C dan D Piala Asia, Julai lalu tetapi Bahrain sempat meraih satu kemenangan dengan mengejutkan Korea Selatan 2-1 di Jakarta hasil jaringan Salman Isa dan Ismaeel Abdullatif.
Bahrain juga dikatakan masih dilatih oleh Milan Macala, bekas jurulatih Czechoslovakia (kini Czech), Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman selain bakal diperkuatkan dengan kehadiran penjaring terbanyak Piala Asia 2004, Alaa Hubail.
Kata Sathianathan, Norhafiz tampak menepati pilihannya sebagai ketua pasukan sepanjang kem latihan dan persahabatan di Perth sejak ketiadaan Shukor yang tercedera dan diketepikan hampir dua bulan sejurus selepas Pestabola Merdeka, Ogos lalu.
Dia menjalankan tugasnya dalam memimpin pasukan dengan baik sepanjang keempat-empat perlawanan itu, katanya memuji pemain Pahang itu yang bergandingan dengan Aidil Zafuan Radzak dari Negeri Sembilan selaku bek tengah.
Skuad negara
Samransak Kram, Khyril Muhymeen Zambri, Sabre Mat Abu, Bunyamin Umar, Safee Sali, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Syed Adney Syed Hussein, Zaquan Adha Radzak, Aidil Zafuan Radzak, Syamsol Sabtu, Shahurain Abu Samah, Norshahrul Idlan Talaha, Azi Shahril Azmi, S. Subramaniam, Nasril Nourdin, Daudsu Jamaluddin, Sumardi Hajalan, Farizal Marlias, Nor Farhan Muhammad, Zambri Chin, Chun Ken Hong, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah, K. Nanthakumar, K. Thanaraj.
SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2gKtgds
© Utusan Melayu (M) Bhd