Farhan, Samransak gugur



ARKIB : 19/10/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PETALING JAYA – Jurulatih negara, B. Sathianathan membuat kejutan dengan mengetepikan dua tonggak juara Pestabola Merdeka, Nor Farhan Muhammad dan Samransak Kram daripada skuad 22 pemain menentang Bahrain dalam pusingan pertama bola sepak Kelayakan Piala Dunia di Manama, Ahad ini.

Turut diketepikan bersama sayap kanan dan penyerang itu kerana ialah bekas ketua pasukan Kelayakan Olimpik, S. Subramaniam manakala tiga penjaga gol, Syed Adney Hussein, Nasril Nourdin dan Farizal Marlias dipertaruhkan bagi perlawanan pertama kelayakan.

Sathianathan berkata, “Farhan dan Samransak masih tercedera lutut dan groin tetapi mungkin boleh disenaraikan semula dalam perlawanan kedua di Shah Alam (28 Oktober ini). Tiga penjaga gol ke Manama ialah sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kecederaan atau diserang penyakit.

“Saya tidak bimbang dengan cuma memiliki dua penyerang, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak kerana ada beberapa pemain tengah menyerang seperti Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Amirulhadi Zainal dan Khyril Muhymeen Zambri,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Menurutnya, Bahrain diakui memiliki kelebihan ranking dan pengalaman serta reputasi selaku antara 10 pasukan handalan Asia tetapi skuad negara mahu turun ke Stadium Kebangsaan dengan sikap dan fikiran positif tanpa memilih strategi selamat yang terlalu bertahan.

“Saya difahamkan ramai pemain Bahrain merupakan mereka yang telah bergandingan sejak tujuh atau lapan tahun lalu sekali gus lebih berpengalaman. Mereka juga memiliki beberapa pemain kelahiran asing dan menyerlah dalam persahabatan dengan Singapura dan Libya, baru-baru ini.

“Kami akan bermain dengan kekuatan kami dan mengatasi kelemahan yang masih ada malah tetap mahu memburu keputusan yang menguntungkan sama ada menang, seri, kalah 1-0 tetapi lebih baik jika kami dapat menjaringkan gol di tempat lawan.

“Yang penting ialah keyakinan diri pasukan negara bahawa mereka juga sebagus Bahrain, mampu menandingi lawan dan bermain sehingga 150 peratus,” katanya yang mengumumkan Norhafiz Zamani Misbah sebagai ketua pasukan selepas kehilangan Shukor Adan kerana kecederaan sejak Ogos lalu.

Hanya tiga pemain senior sekarang - Norhafiz, K. Nanthakumar dan Indra yang pernah bermain pada pertemuan terakhir Malaysia dengan Bahrain dalam Kelayakan Piala Asia 2003 apabila kita seri 2-2 di Kuala Lumpur (jaringan Norhafiz dan Shukor) sebelum menyerah 3-1 (Indra) di Manama.

Mengenai penyertaan ramai petugas sokongan selain penolong jurulatih Mohamad Zaki Shaikh Ahmad dan P. Mohana Sundram ke Manama seperti pakar pemakanan, penganalisis sukan dan psikologis, kata Sathianathan, “ia dibuat atas permintaan saya dan berdasarkan pengalaman kerana setiap kejayaan ialah hasil usaha sepasukan, bukan saya sendirian.”

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, tiada lagi pemain negara terutamanya dalam skuad Bawah 23 Tahun ke Sukan SEA Korat yang akan dilepaskan ke negeri dan kelab mereka semula apabila Liga Malaysia musim 2007-2008 bermula pertengahan bulan depan

SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2xKuKtL
© Utusan Melayu (M) Bhd
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==