Cara Ocean Infintiy mengumpul data lantai laut menggunakan AUG Hugin. |
Tawaran itu dibuat oleh Ocean Infinity dan Kerajaan Malaysia dikatakan menunjukkan minat selepas pencarian lebih tiga tahun gagal menemui bangkai pesawat terbabit, lapor The West Australian.
Syarikat yang pernah terbabit dalam merekodkan data mengenai lantai laut itu membuat tawaran ‘tidak jumpa, tiada bayaran’, walaupun sebuah firma kajian maritim Belanda, Fugro, dipercayai membuat tawaran balas dengan mengenakan caj paling rendah.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan jumlah bayaran yang akan dikenakan oleh Ocean Infinity jika MH370 dijumpai atau caj yang ditawarkan Fugro.
Ocean Infinity dilaporkan akan menggunakan enam kenderaan bawah air (AUG) HUGIN pada kedalaman 6,000 meter dengan kelajuan yang dikatakannya memecah rekod, bagi mengumpul data lantai laut beresolusi tinggi.
HUGIN dipasang sensor komprehensif, termasuk tiga pengimbas berfrekuensi tinggi, sistem pemancar pelbagai gema, dan kamera warna. AUG itu turut dipasang dengan ‘magnetometer’ di dalamnya.
Semua AUG itu dilengkapi dengan bateri polimer lithium dan mampu mencecah misi melebihi 60 jam tanpa henti.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam mengkaji laporan akhir Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai pencarian MH370.
ATSB dalam laporannya berkata, sebab kehilangan pesawat komersial Malaysia itu tidak dapat ditentukan dengan pasti sehinggalah pesawat berkenaan dijumpai.
“Kehilangan ini hampir tidak dapat difahami dan semestinya tidak wajar dalam era penerbangan moden dengan 10 juta penumpang menaiki pesawat komersial setiap hari, bagi sebuah pesawat komersial yang begitu besar untuk hilang, dan dunia pula tidak tahu secara pasti apa yang telah berlaku kepada pesawat itu dan mereka yang menaikinya,” menurut laporan itu.
Pencarian selama kira-kira dua tahun di kawasan membabitkan 120,000 kilometer persegi gagal menemui sebarang petanda bangkai pesawat itu, menyebabkan Kerajaan Malaysia, Australia dan China menggantung pencarian pada 17 Januari lalu.
Bagaimanaun sejak pencarian itu digantung, penemuan baharu daripada satu kajian berkenaan arus dan model imej satelit mendorong saintis Australia mempercayai mereka, dengan ketepatan yang belum pernah dilakukan sebelum ini, telah menentukan lokasi kemungkinan wujudnya bangkai pesawat itu.
Kajian dan penemuan itu meningkatkan keyakinan bahawa bangkai Boeing 777 itu berada di kawasan 5,000 kilometer persegi ke utara dan barat kawasan pencarian sebelum ini.
Lebih tepat, ia berada kira-kira 2,000 kilometer di barat baratdaya Perth, Australia.
Saintis menggunakan imej satelit dan model arus untuk mengenal pasti lokasi pada latitud 35.6 ° S dan longitud 92.8 ° E berhampiran kawasan pencarian ketujuh di satu alur yang bengkok, sebagai lokasi yang paling bermungkinan tinggi untuk pesawat itu berada.
Tawaran ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ yang dibuat Ocean Infinity itu sekali gus memberi tekanan kepada Malaysia untuk meneruskan pencarian atau menjelaskan kenapa mereka tidak cuba untuk menyelesaikan suatu misteri dalam sejarah penerbangan dunia, jika enggan meneruskannya.
MH370 hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Beijing.
Pada awal kehilangannya daripada radar, misi pencarian dilakukan di kawasan permukaan yang luas dan kemudiannya diteruskan dengan pencarian di dasar lautan di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi yang berakhir pada Januari tahun ini.
Operasi pencarian itu dikatakan membabitkan kos US$200 juta dan dibiayai tiga negara – Malaysia, Australia dan China.