Amanah Kelantan didakwa perlu kosongkan Wisma Tok Guru


ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Amanah Kelantan didakwa perlu mengosongkan Wisma Tok Guru di Salor selepas menerima notis daripada kerajaan PAS Kelantan.
 
Bangunan tersebut pada masa ini menempatkan pejabat Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa yang juga merupakan ADUN Salor.
 
Bangunan dua tingkat yang terletak di Jalan Pendek, Salor itu didirikan di atas tanah milik balu kepada bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim.
 
Ahmad Rosli yang meninggal dunia pada 27 Julai lalu merupakan bekas Setiausaha Umno Kelantan dan pernah bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah melalui Semangat 46.
 
Memetik laporan Malaysiakini, sumber parti itu yang rapat dengan Husam memaklumkan arahan mengosongkan bangunan berkenaan adalah sahih namun memberitahu Husam akan menjawab perkara itu kelak.
 
Wisma Tok Guru pada sebelum ini pernah ditimbulkan beberapa kali oleh kerajaan negeri, menerusi Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Nassurruddin Daud yang mengatakan tapak bangunan itu adalah milik kerajaan.
 
Pertikaian berlanjutan apabila Nassurruddin mempersoal mengapa Husam mahu menggunakan kemudahan bangunan itu meskipun sudah meninggalkan PAS.
 
Ahmad Rosli kemudiannya memberitahu tanah yang dinamakan atas isterinya itu telah diberikan kebenaran kepada Husam untuk menggunakannya dan tidak pernah mewakafkan tanah itu kepada kerajaan negeri Kelantan.
 
 
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==