Persoalan perjuangan bagi sesebuah negara ini memerlukan pengorbanan dari setiap seorang yang mengaku dirinya pejuang negara, kata Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu Tariq Ismail Mustafa.
Beliau menegaskan, maksud perjuangan itu sendiri memberi implikasi keazaman dan kecekalan dalam menegakkan pegangan dan prinsip masing-masing bukan sesuatu dari segi material.
“Jarang saya dengar seseorang itu digelar pejuang negara apabila perjuangannya itu hanya bagi kepentingan material, dan dianya itu seseorang yang tamak, berkepentingan peribadi, dan tiada pegangan hidup atau tidak berprinsip. Jenis sebegini digelar pejuang materialis.
“Pejuang materialis ini, yang ramai di dalam Umno, meletakkan kepentingan dan keselesaan diri sendiri mengatasi kepentingan rakyat dan negara. “Aku untung dulu”,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi pada Sabtu yang dipetik berkata, himpunan anti kleptokrasi yang dianjurkan Pakatan Harapan adalah sebuah himpunan paling hipokrit yang pernah berlaku di negara ini.
Menurut Aziz apa yang menjadikan perhimpunan diadakan itu paling hipokrit yang pernah mereka lakukan kerana di pihak pakatan pembangkang sendiri ujarnya, tercalit beberapa skandal salah laku yang sehingga kini langsung tidak diperjelaskan.
“Kawan atau lawan tak menjadi persoalan kerana matlamatnya tetap sama – kesejahteraan rakyat dan negara, bukan kesejahteraan individu.
“Apabila perlu, kawan akan menjadi lawan apabila terdapat berbagai pendapat dan matlamat. Ini bukan sesuatu yang baru dalam politik mahupun kehidupan.
“Tetapi apabila sesuatu permasaalahan itu mengancam kepentingan seluruh rakyat dan negara, kesatuan matlamat akan tercapai dan lawan menjadi kawan.
“Beginilah seharusnya demokrasi berfungsi, bukan dengan persetujuan membabi buta dan ketaksuban,” ujarnya.
Tambah Ketua Bahagian Bersatu Sri Gading ini lagi, sepatutnya pejuang negara, sentiasa peka akan kebajikan rakyat dan sanggup mengenepikan sebarang perselisihan.
“Pejuang negara yang sebenar, akan mengenepikan kepentingan diri sendiri, sanggup bersusah payah dan bertungkus lumus serta berkorban keselesaan peribadi bagi mencapai matlamatnya.
“Ini termasuk dalam mencapai kata sepakat antara pihak bercanggah pendapat, di mana matlamat utama pejuang-pejuang negara adalah menjaga kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.