ARKIB : 19/09/2007
Oleh AMRAN MULUP
PELATIH skuad kebangsaan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2010 berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin. Gambar Rashid Mahfof.
KUALA LUMPUR Jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan membayangkan masih ada sinar dalam bola sepak Malaysia untuk kembali disegani dan dihormati.
Beliau melihat betapa kesungguhan dan komitmen pemain melapor diri pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan tepat pada masa yang ditetapkan sebelum pukul 5 petang di Wisma FAM, semalam.
Sepanjang 14 tahun penglibatan saya, inilah pertama kali saya melihat pelatih kebangsaan yang dipanggil melapor diri datang tepat pada waktu yang ditetapkan.
Lebih mengejutkan kesemua 28 pemain yang telah berada di Wisma FAM sejam lebih awal daripada masa yang ditetapkan.
Jika sebelum ini pemain melapor diri ada yang lewat, ada yang minta pelbagai alasan untuk melapor diri setelah dua hari, kata Sathiananthan ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Kesungguhan itu katanya, membuktikan pemain telah mula menghargai betapa bermain dengan skuad kebangsaan mempunyai nilai dan harga diri yang tinggi.
Menurut beliau, komitmen tinggi ini dan semangat berkobar-kobar pemain lebih menguatkan keyakinan betapa bola sepak negara kini merintis ke landasan yang tepat untuk kembali dihormati.
Mudah bagi saya mengendalikan latihan dalam satu suasana pemain begitu bersemangat dan berdisiplin.
Bukan mudah kalau hendak melihat kesungguhan pemain apabila melapor diri di Wisma FAM sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini adalah satu petanda pemain telah mula sedar tanggungjawab mereka apabila menyarung jersi kebangsaan, tegasnya.
Ujarnya, kejayaan skuad bawah 23 tahun menjuarai Pesta Bola Merdeka ke-39 baru-baru ini, sebagai langkah pemula ke arah menobatkan kembali bola sepak negara.
Kemenangan itu katanya menjadi pemangkin buat pemain untuk melakukan kejutan pada pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain pada 21 dan 28 Oktober ini.
Menurut beliau, mengakui betapa Bahrain yang berada di ranking kelima Asia tetapi tidak mustahil jika anak didiknya mampu membuat kejutan.
Seperti saya katakan awal sebelum ini sasaran saya dan tumpuan sebenarnya adalah untuk Sukan SEA di Korat dan jangan terlalu mengharapkan sesuatu menentang Bahrain, ujarnya lagi.
Pelatih kebangsaan akan berangkat ke Perth, Australia daripada 24 September hingga 10 Oktober ini untuk menjalani latihan kerana ia adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi Bahrain.
Sewaktu kunjungan di Perth skuad kebangsaan dijadual beraksi dalam tiga perlawanan bertemu Pilihan Australia Barat pada 28 atau 29 September ini, pasukan Liga A, Perth Glory (2 Oktober), Ashfield (5 Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).
SUMBERArtikel Penuh: http://ift.tt/2yr8B7z
© Utusan Melayu (M) Bhd