Jamal peruntuk RM5,000 sehari taja makanan percuma di 'Restoran Gabungan NGO 1Malaysia'

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengeluarkan kos RM5,000 sehari untuk memberi makan dan minum percuma kepada 1,000 warga kota untuk tempoh selama tiga tahun. 
 
Menurut Jamal, idea pembukaan restoran yang dinamakan 'Restoran Gabungan NGO 1Malaysia' diilhamkan selepas kematian rakan terdekatnya, justeru beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pemberian makan percuma itu bermotifkan politik.
 
"Bila saya kata ia untuk tiga tahun akan datang, ia tak langsung melibatkan PRU, tempat makan ini jangan dijadikan bahan politik. 
 
"Saya alu-alukan kawan-kawan politik tak kira dari DAP pun datang, PKR, PAS asalkan ia rakyat Malaysia. Kami tak alu-alukan rakyat Myanmar, Bangla kecuali pelancong nak ambil tahu pasal program ini.
 
"Itu pandangan mereka, macam saya kata, kesedaran ini datang dari sahabat saya, rakan perniagaan saya yang telah meninggal dunia dua bulan lepas, ketika saya kebumikan dia itulah datang kesedaran. Apapun yang kita lakukan dalam dunia ini berapa banyak pun harta yang kita cari tak pergi ke mana.
 
"Saya anggarkan kos untuk seorang RM5. Kami dah masak siap 1,000 orang jadi memerlukan RM5,000 sehari," katanya pada pelancaran Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, di Jalan Pahang di sini.
 
Mengulas lanjut, Jamal berkata kos pembukaan restoran yang memulakan operasi dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu adalah hasil sumbangan rakan-rakan NGO dan rakan terdekat yang enggan didedahkan.
 
"Penyumbang kepada program ini tidak mahu menampilkan diri dan tak mahu nama mereka ditonjolkan, kerana mereka kata sedekah. Dalam agama Islam kata baik sedekah, lebih baik bagi tangan kanan.
 
"Kalau saya sendiri tak akan mampu melaksanakan tetapi sumbangan berterusan daripada rakan-rakan yang tidak mahu mempamerkan diri mereka," jelasnya.
 
Restoran itu dibuka setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, dan mempunyai seramai 15 sukarelawan namun pengunjung diwajibkan membasuh pinggan sendiri selepas makan.
 
"Kita ada tujuh menu yang bertukar-tukar dan ini adalah konsep alukan semua lapisan masyarakat asalkan rakyat Malaysia. Inilah konsep Muhibbah. Kalau nak kata kami rasis, inilah konsep yang kami buat. Ia untuk rakyat Malaysia," tambahnya.
 
Antara menu yang dihidangkan sempena hari pertama pembukaannya adalah nasi putih, nasi minyak, ayam goreng, ayam masak merah, kari ikan, dan jagung rebus.
 
Jamal turut mengumumkan pembukaan cawangan seterusnya di Sekinchan pada 25 Oktober ini.
 
 
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==