[ARAK DI JOHOR] Selepas bebas, Zamihan diangkat sebagai ‘pejuang’, bantah pesta arak di Johor

Walaupun dibidas Sultan Johor sebagai “angkuh” dan “tin kosong”, Zamihan Mat Zin kembali aktif dengan pelbagai muat naik di Facebook beliau, termasuk membantah penganjuran pesta arak di Johor, sambil diangkat sebagai “pejuang Islam” oleh penyokongnya.
Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru-baru ini disiasat berhubung kritikannya terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memuat naik pelbagai mesej “perjuangan” selepas dibebaskan Sabtu lalu.
Zamihan, 41, yang mengetuai NGO beliau, Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), ditahan berhubung ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam pada 7 Oktober, yang menyelar Sultan Ibrahim kerana menghalang dasar sebuah kedai dobi di Muar, Johor untuk hanya berurusan dengan orang Islam.
Zamihan juga mengundang kecaman kerana menyifatkan orang bukan Islam tidak bersih sehinggakan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian penganut Islam.
“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan seperti dipetik rakan video ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Selepas klip tersebut viral di Youtube, Zamihan menuduh beberapa media memutar belit ucapannya, walapun memohon ampun kepada Sultan Johor beberapa jam sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan.
Bagaimanapun, Sultan Ibrahim membidas pegawai Jakim itu dan mengarahkan pihak berkuasa agama negeri tidak berurusan dengan Jakim.
“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” menurut ucapan Sultan Ibrahim di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat pada Sabtu.
“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” tambahnya, merujuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Kenyataan keras Sultan Johor itu bagaimanapun tidak menghalang pelbagai muat naik di Facebook Zamihan, mengangkat penceramah agama yang terkenal dengan gayanya menghentam tokoh agama lain itu sebagai “pejuang akidah” yang difitnah. - FMT
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==