Bagaimana anda boleh mengelak serpihan stesen angkasa lepas yang akan terhempas? Sebuah stesen angkasa lepas seberat 8.5 tan akan terhempas ke bumi dan Kuala Lumpur, Malaysia antara yang tersenarai bersama beberapa bandaraya di dunia yang dijangka menjadi salah satu lokasi serpihan stesen angkasa lepas itu akan jatuh dan terhempas.
Stesen angkasa lepas dari China yang dinamakan Tiangong-1 bermaksud ‘istana syurga’ dijangka akan terhempas ke bumi dalam jangka masa terdekat. Tiangong-1 merupakan stesen angkasa lepas pertama China yang mengelilingi orbit bumi dengan menjadi kebanggaan negara China. Modul kendalian sendiri yang menjadi kebanggaan ini telah berjaya berlepas ke angkasa lepas pada bulan September 2011 dan kesemua misi telah berjaya diselesaikan pada bulan Mac 2016.
Stesen angkasa lepas ini telah diprogramkan dengan persediaan memasuki atmosfera pada tahun 2017 selepas kesemua data telah berjaya dipindahkan ke bumi.
Namun begitu, berikutan masalah teknikal dan mekanikal , stesen angkasa lepas ini menjadi di luar kawalan sistem komputer.
Kerajaan China telah mengesahkan perkara ini dan Penolong Pengarah Pejabat Kejuruteraan dan Pengendalian Angkasa Lepas China, Wu Ping telah membuat satu kenyataan, “Berdasarkan perkiraan dan analisis pihak kami, hampir seluruh ruang makmal stesen angkasa lepas akan meletup dan terbakar semasa terhempas.”
Walaupun kenyataan ini berbunyi seakan tidak membimbangkan, seorang ahli astrofizik dari Universiti Harvard, Jonathan McDowell menyatakan sebaliknya. Oleh kerana modul ini tidak dapat dikawal berikutan masalah teknikal dan mekanikal, kita tidak akan tahu masa pendaratannya yang mana jangkaannya antara 6 hingga 7 jam selepas letupan dan kebakaran berlaku.
Jonathan McDowell berkata,”Dengan tidak mengetahui bila ia akan turun ke bumi menterjemahkan bahawa mereka tidak tahu di mana lokasi ia akan turun ke bumi.”
Jadi, mengapa pula kita warga Malaysia perlu mengambil tahu dan menjadi sibuk dan bimbang dengan kenyataan ini? Ini sebabnya…
Berdasarkan jangkaan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), modul stesen angkasa lepas sepanjang 10.4 meter itu akan memasuki dan mencecah ke bumi pada anggaran masa di antara bulan Januari dan Mac 2018.
Menurut laporan berita Oriental Daily dan Sin Chew, berikut adalah bandaraya berpotensi yang telah disenaraikan menjadi lokasi zon pendaratan atau hempasan stesen angkasa lepas tersebut:
Kuala Lumpur
Singapura
Bangkok
Beijing
New York
Manila
Tokyo
Walaupun kebanyakan bahagian stesen angkasa lepas itu akan mencair di atmosfera, pakar angkasa lepas dan saintis berasa bimbang yang enjin dari roket stesen akan bertahan di atmosfera dan tidak akan mencair.
Jonathan McDowell menambah lagi, “Dijangka terdapat longgokan atau ketulan seberat 100 kilogram dan sebagainya yang akan jatuh ke bumi. Pasti ia sudah cukup memberi hentakan keras jika ia mengenai objek atau seseorang di bumi. Ya, saya tidak akan menafikan yang ia akan memberi potensi dan menyebabkan kerosakan, mungkin ke atas kereta seseorang. Atau akan terdapat hujan kepingan logam yang akan turun dari langit dan menghempas di atas bumbung rumah. Seperti serpihan kapal terbang yang telah meletup di udara , tetapi ia tidak memberi kerosakan yang menyeluruh.”
Seorang angkasawan amatur bernama Thomas Dorman pula berkata, “Serpihan itu mungkin akan terhempas di daratan dan kemungkinan juga akan terhempas di lautan atau lokasi yang tidak berpenghuni. Dan kemungkinan ia akan mendarat dan terhempas di lokasi yang berpenduduk padat juga perlu dijangkakan dan diambil kira dengan serius.”
Tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelak perkara ini dari berlaku kecuali dengan mendoakan yang terbaik. Diharap serpihan ini tidak akan mendarat dan terhempas di kawasan yang berpenghuni.
Jika serpihan itu jatuh pada waktu malam, mungkin kita akan dapat melihat pemandangan hujan cahaya dari langit yang indah.
Sumber: Era Baru