POLIGAMI : Tergamak cakap isteri sakit otak


ALOR SETAR - Seorang suami tergamak beri alasan kononnya isterinya sakit mental bagi membolehkan dia berpoligami secara rahsia dengan seorang wanita yang menetap di Kuala Nerang. Helah lelaki berusia 40-an itu, bagaimanapun, diketahui isteri pertama selepas beberapa bulan dia melangsungkan pernikahan dengan isteri kedua kononnya di Thailand.

 Aminah (bukan nama sebenar), 43, mendakwa pada awalnya suaminya mengenali wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu sebagai rakan kongsi perniagaan, tetapi tidak lama kemudian mereka bernikah tanpa pengetahuannya melalui sebuah sindiket. “Saya tak halang dia nak kahwin lagi, tetapi saya tahu dia tak mampu, sebab dia banyak bergantung (perbelanjaan) kepada saya dan keluarga. Saya dapat tahu mereka berkahwin di negara jiran pada 2011 tetapi saya reda kerana mereka sah berkahwin,” katanya.

 Hasil semakan di pejabat agama mengenai perkahwinan itu mengecewakan Aminah. “Saya dapati suami tidak berkahwin di negara jiran, sebaliknya bernikah di Alor Setar. Saya amat terkejut. Bagaimana dia boleh berpoligami di Malaysia tanpa pengetahuan saya, sedangkan saya masih isteri dia dan waras,” katanya.
Menurutnya, curiga dengan situasi itu, dia mendapatkan salinan sijil nikah itu dan merujuk Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk semakan kali kedua dan disahkan sijil nikah itu palsu. Jelasnya, pendedahan mengenai sijil nikah palsu itu menyebabkan suaminya bertikam lidah dengan madunya yang tidak berpuas hati dengan penggunaan sindiket berkenaan.

 “Suami mengakui dia melakukan akad nikah di sebuah bilik hotel mewah di pusat bandar dan mengenali individu yang melakukan sindiket itu. Dia pernah tunjuk pada saya gambar pernikahan mereka. Pada sijil nikah tertulis belanja RM7,000 dan mas kahwin RM80,” katanya.

 Aminah mendakwa, individu yang menikahkan pasangan poligami itu mungkin seorang imam masjid berdekatan. Dia nampak alim, berjanggut dan berserban. “Setelah tiga tahun berlalu, saya masih belum dapat penjelasan daripada pihak berkenaan tentang status perkahwinan mereka kerana tiada surat sama ada pernikahan itu sah atau tidak,” katanya.

 Menurutnya, suami dan isteri keduanya itu berpisah dua tahun lalu akibat selisih faham disebabkan penglibatan sindiket tersebut, yang membuatkan status perkahwinan poligami mereka seolah-olah tergantung dan tiada penjelasan dari segi hukum syarak. “Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan hal agama,” katanya. Berdasarkan surat Pejabat Agama Daerah Kota Setar pada 17 April 2013, sijil nikah poligami pasangan itu bertarikh 25 Oktober 2010 disahkan palsu.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==